Rabu, 28 September 2011

Allah suruh laksana tapi tak galakkan hukuman hudud


"Hukum Hudud" dan "Hukuman Hudud" sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza. Sehinggakan ramai yang keliru. Tambah malang sekali, bila ada umat Islam yang sanggup menyalahgunakan hadis di bawah untuk menolak hukum hudud.

"Tolaklah hudud daripada orang-orang Islam selagi boleh. Kalau masih ada jalan keluar, lepaskan mereka. Ini kerana, kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan lebih baik daripada kesilapannya dalam mengenakan hukuman." - Hadis riwayat al-Tarmizi.


Perkataan "Hudud" dalam hadis berkenaan merujuk kepada "hukuman", bukan "Sistem Hudud" itu sendiri. Hadis berkenaan membawa maksud, tolaklah sebarang hukuman Hudud (merujuk kepada sebat, potong tangan atau mana-mana hukuman khusus di dalam Hudud) selagi boleh (jika ada sebarang kekeliruan dalam fakta dan saksi kes) kerana dosa menjatuhkan hukuman yang salah adalah lebih besar dari dosa melepaskan manusia yang benar-benar bersalah.

Walaupun Allah SWT telah menetapkan hukum hudud, namun Dia sebenarnya mempunyai maksud yang hukum itu bukan untuk menghukum. Tetapi sekadar untuk menakut-nakutkan sahaja. Ini menunjukkan yang Allah menyuruh kita melaksanakan "Sistem Hudud", tapi tidak menggalakkan "Hukuman Hudud".

Kalau kita tengok syarat-syarat untuk melaksanakan sesuatu hukum hudud itu, ianya terlalu ketat hingga hampir mustahil untuk dilaksanakan hukuman tersebut ke atas pesalah. Malah, jika saksi tidak dapat memberi bukti kukuh dan memenuhi syarat-syarat kesaksian, bukan saja tuduhannya itu ditolak oleh mahkamah, malah dia dianggap pemfitnah dan pembuka aib orang. Maka akan dikenakan hukuman hudud ke atasnya pula dengan hukuman rotan 80 kali. Jadi, siapa yang berani nak jadi saksi?

Begitu juga dengan hukum cerai. Adakah Allah tetapkan hukum cerai untuk menggalakkan kita bercerai-berai? Sudah tentu tidak.

Dari Umar, ia berkata bahawa Rasulullah saw. bersabda: “Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian” [H.R. Abu Daud dan Hakim]

Jadi, buat apa nak laksanakan hukum hudud kalau tak boleh jalankan hukumannya? Bagaimana nak hukum pesalah?

Allah mahu pesalah terdidik dan bertaubat dari kesalahannya. Contoh. Apabila seseorang yang melakukan zina itu ditangkap, kemudian dibicarakan, tetapi si penzina terlepas dari hukuman hudud oleh kerana syarat-syarat untuk mensabitkan dia sebagai penzina oleh mahkamah tidak cukup kerana terlalu berat.

Maka pesalah sepatutnya merasakan yang Allah telah melepaskannya dari azab yang mengerikan itu dan sengaja memberi peluang untuk dia hidup lagi atau terlepas dari hidup terseksa. Hatinya tentu akan rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Penyayang itu. Pesalah akan mengalami kesan psikologi yang mendalam. Dia sangat insaf dengan perlindungan dan kasih sayang ALLAH. Hingga dia merasa patut dihukum sebab memang dia bersalah pun. Lantas dia pun bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Lihatlah betapa bijaksana Allah mendidik hamba-hamba-Nya secara halus dengan melepaskan pesalah dari hukuman.  Tapi, hal ini mungkin hanya berlaku pada pesalah yang masih mempunyai iman di hatinya. Tetapi dalam masyarakat hari ini, ramai yang hati sudah hitam, susah untuk insaf dengan didikan halus oleh ALLAH itu. Bahkan jika terlepas dari hukuman, mungkin dia merasakan peluang untuk mengulangi kesalahan masih terbuka. Orang-orang ini adalah orang yang sangat rugi dan tidak tahu bersyukur dengan kasih sayang Allah padanya. Dia pasti akan mendapat azab yang lebih dahsyat di akhirat kelak.

Hukuman Hudud Zalim dan Kejam?

Jangan kita rasa hukuman hudud ini kejam. Sebab hukuman itu sama timbangannya dengan kekejaman yang dilakukan oleh pesalah terhadap orang lain. Pesalah yang menerima hukuman, pasti akan menginsafi dan merasakan, “Beginilah hebatnya kekejaman yang aku lakukan. Dan hukuman di akhirat lebih dahsyat lagi. Biarlah aku dihukum di dunia ini.” Begitu juga dengan hukum-hukum yang lain dalam Islam. Allah sudah sukat dan tetapkan dengan jelas dan terperinci. Ia tidak boleh ditukar ganti, dirombak, dipinda dan dipersoalkan.

Kesimpulannya

Hukum hudud yang dikatakan menakutkan itu sebenarnya penuh kasih sayang, pendidikan, kebaikan dan keuntungan bagi masyarakat umum dan juga pada individu pesalah. Di akhirat nanti baru kita akan faham maksud-maksud tersirat Allah, hikmah dan falsafah yang mendalam tentang ajaran-ajaran dan perlaksanaan hukum-hukum ALLAH. Tapi, tanpa praktik dan pengalaman, kita akan sentiasa berselisih faham disebabkan pendapat yang berbeza-beza, yang biasanya lahir dari nafsu, syaitan dan kejahilan yang kita pertahankan.

Wallahu'alam... sumber disini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan