Khamis, 20 September 2012

Antara Menyokong Syaitan Dan Malaikat


Allah mengajar Adam mengenal tuhannya Allah sahaja dan tidak ada sekutu baginya. Beliau turut diajar mengenali para malaikat dan mengenali Iblis yang menjadi ketua syaitan seluruhnya.

Tujuan manusia diciptakan supaya beribadat kepada Allah seperti makhluk yang lain dan dikurnia keistimewaan ditugaskan menjadi khalifah di bumi, kerana sesuai dengan fitrahnya. Perkara terpenting daripada khalifah ialah berpolitik, mentadbir urusan dunia dengan agama Allah (al-din).

Iblis adalah pemimpin syaitan, makhluk jahat yang telah melakukan kekacauan di bumi sebelum manusia diletakkan mengikut keputusan Allah. Iblis ditawan oleh para malaikat dan menjadi tawanan bersama mereka dan diminta berlaku baik bersama para malaikat. 

Tetapi Iblis hanya berlakon dan berpura-pura baik, tanpa diketahui oleh para malaikat segala yang tersirat dan tersembunyi dalam dirinya.

Kejahatan tersirat dalam diri Iblis

Allah memperkenalkan para malaikat kepada Adam dan Hawa, bahawa mereka adalah makhluk paling baik menjadi contoh dan kawan, kerana sangat taat kepada Allah dan tidak sekali-kali menderhakai Allah. 

Begitulah tabiat para malaikat makhluk yang mulia itu. Allah juga mendedahkan kejahatan yang tersirat dalam diri Iblis dan begitulah juga pengikutnya yang ada di bumi. Mereka adalah bakal pencabar kepada makhluk manusia yang beriman dan budiman.

Al-Quran mengesahkan betapa para malaikat itu sangat mentaati Allah, sehingga menawarkan diri bertugas di bumi bukannya manusia. Menunjukkan sikap berlumba mentaati Allah. 

Allah mendedahkan kelebihannya kepada malaikat, Adam - makhluk manusia yang diberi ilmu bertugas di bumi dengan sifat kejadiannya yang berbeza.

Banyak perkara yang tidak ada kepada malaikat. Maka para malaikat menunjukkan sifat tawaduk di hadapan Allah serta memuji dan bertasbih. 

Allah mengesahkan dengan firmannya (bermaksud):

"Dan Allah mengajar kepada Adam nama-nama semuanya, kemudian dibentangkan kepada para malaikat. Lalu mereka berkata: Maha Suci Engkau. Tidaklah kami ketahui melainkan sekadar apa yang Engkau ajarkan kepada kami. 

"Allah berfirman kepada Adam: Ceritakan kepada mereka nama-nama semuanya. Setelah Adam menyebut nama-nama semuanya. Allah berfirman: Tidakkah aku katakan kepada kamu, bahawa aku mengetahui apa-apa yang tersembunyi di langit dan bumi dan aku mengetahui apa-apa yang kamu nyata dan kamu sembunyikan?" (al-Baqarah: 31-33).

Allah tidak dengan segera menghantar Adam dan Hawa ke bumi, tetapi lebih dahulu mereka diajar dan ditarbiah di syurga, menikmati sifat-sifat yang ada pada diri manusia dan menyatakan sempadan halal dan haram apabila tiba di bumi nanti. Adanya perkara bagi makhluk yang lain, bukan untuk manusia, kalau melampauinya membawa mudarat. Allah juga mengajar dan mentarbiah Adam dan Hawa dengan melakukan dosa kesalahan secara mendedahkan sifat jahat yang tetap ada pada Iblis dan pengikutnya di kalangan syaitan, jin dan manusia, yang akan dihadapi oleh manusia ketika menjalankan tugas mereka di bumi nanti.

Pendedahan dilakukan, bermula dengan secara bersama mengadap Allah. Apabila Allah memerintah mereka sujud kepada makhluk Adam bagi meraikan kejadian dan tugasnya. Tiba-tiba para malaikat sahaja yang sujud menunaikan perintah Allah. Iblis pemimpin syaitan pula tidak mahu sujud.

Mendedahkan sifat buruk yang ada pada dirinya dan begitulah juga pengikutnya. Ketiga-tiga sifat itu ialah: Enggan (derhaka), takabur (sombong) dan kufur (ingkar melawan Tuhan).

Seterusnya Allah memberi tahu Adam, dengan mendedahkan sifat yang keempat pada diri Iblis dan pengikutnya, iaitu menipu dengan apa cara sahaja, termasuk cara menggoda. 

Ternyata selepas diletakkan dalam syurga, Adam dan Hawa tertipu dengan godaan Iblis pemimpin syaitan itu, sehingga dihalau ke bumi bagi melaksanakan tugas mereka dengan segala cabarannya.

Allah memberi hidayah kepada Adam dan Hawa kerana menyesal setelah berfikir dengan akal yang betul, sehingga bertaubat. Ada pun Iblis dan para syaitan bersamanya, di kalangan jin dan manusia tidak bertaubat sehingga mati, kerana sifat angkuh dan sombong, yang merasakan diri mereka terlalu bijak sehingga tidak perlu bergantung kepada Allah.

Nasihat & amaran
Adam dan para rasul yang dilantik membawa petunjuk Allah yang dinamakan Islam diperintah supaya beriman kepada malaikat di samping beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain. 

Beriman kepada para malaikat termasuk dalam rukun iman, bukan sahaja mengenalinya sebagai makhluk yang tidak derhaka dan tidak berdosa, bahkan malaikat itu sentiasa bersama orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih. 

Sesiapa yang memusuhi para malaikat bermakna memusuhi Allah dan rasulnya.

Kita wajib juga beriman kepada adanya syaitan, termasuk dalam beriman kepada perkara yang ghaib. Wajib percaya bahawa syaitan itu makhluk paling jahat dan menipu. Mengikut syaitan dan menjadi penolongnya atau bersamanya bermakna ditipu dan menempah celaka dunia dan akhirat.

Wajib beriman kepada malaikat dan mereka adalah makhluk paling baik kerana taat dan tidak berdosa. Wajib pula beriman adanya makhluk Iblis dan para pengikutnya di kalangan manusia dan jin, yang dinamakan syaitan, makhluk paling jahat, menipu dan menggoda, sehingga mati tidak bertaubat.

Mengugut dengan kemiskinan
Hadis Rasulullah SAW yang lebih daripada ucapan yang lain tidak boleh bercanggah dengan Al Quran. Allah berfirman dalam surah Yasin yang dibaca oleh kebanyakan umat Islam (bermaksud):

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu dengan perjanjian,wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

"Dan (aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembah-Ku; Inilah jalan yang lurus.

"Dan Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dengan akal yang insaf?"

Allah juga mendedahkan, antara godaan syaitan itu tidak melaksanakan Islam seluruhnya, tetapi sebahagian sahaja daripada ajaran dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman Allah (bermaksud):

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam semuanya (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya) dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al-Baqarah).

Allah juga memberitahu bahawa syaitan mengugut dengan kemiskinan kalau melawannya (bermaksud):

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji; sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadanya serta kelebihan kurnia-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha luas limpah kurnia-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah).

Petikan tulisan TGHHA

mesej: jangan sokong syaitan atau orang yang berkawan dengan syaitan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan