Isnin, 23 April 2012

Atas pagar makan budi


Angin Pilihanraya Umum ke-13 semakin kuat bertiup.
Apakah ini suatu spekulasi?
Sepatutnya kita tidak perlu berspekulasi kerana pilihanraya adalah milik kita semua dalam sebuah negara yang mentadbir dirinya dengan peraturan demokrasi. Hairan juga saya dengan saranan sesengah pihak yang menyuruh rakyat berhenti membuat spekulasi tentang tarikh PRU13. Mengapa pula begitu? Semua pihak perlu tahu tentang tarikh penting itu atas pelbagai sebab yang terlalu mudah untuk difahami.
Parti politik yang bertanding perlu menyusun strategi dan mengatur gerak kerja pilihanraya mereka.
Rakyat juga perlu melakukan pelbagai perkara untuk memastikan mereka boleh mengundi. Out station, bertugas di luar negara, melakukan pembedahan elektif, menyusun rotation kerja bagi kakitangan perubatan dan 1001 sebab lagi. Semuanya terpaksa berlaku secara terawang-awang semata-mata tarikh pilihanraya dieksklusifkan menjadi milik empunya titah pemilik kuasa.
Tetapi bukanlah hal itu yang menjadi bahan fikir saya kebelakangan ini. Apa yang lebih membimbangkan saya, ialah kecelaruan pemikiran para pengundi, khususnya dari kalangan generasi muda yang bakal mengundi buat pertama kali, tentang segala hal yang berkaitan dengan pilihanraya dan proses demokrasi di negara kita.
AKU PEDULI APA
Kemusykilan terbesar yang menjadi ancaman ideologi paling kuno tetapi pesat berkembang iaitu pemikiran AKU TIDAK PEDULISMA yang melanda masyarakat kita, khususnya dari kalangan generasi muda.
Dalam perjuangan mahasiswa, mata terus memberi perhatian kepada pertembungan antara pro BN dengan pro PR. Namun kita terlepas pandang bahawa pertempuran paling besar ialah pertempuran antara golongan PEDULI dengan golongan TIDAK PEDULI.
Tak peduli, tidak mahu mengambil tahu, tidak kisah… namakan apa sahaja, ia memberikan maksud pilihanraya, proses demokrasi di negara kita dan percaturan politik yang mencorakkan kehidupan mereka secara kolektif, tidak dianggap penting sama sekali.
POLITIK YANG JENGKEL
Ketidak pedulian itu mungkin kerana sudah muak dengan politik negara yang tidak ke mana.
Yang memerintah semakin parah, yang mahu menjadi alternatif, belum dapat dilihat kewibawaannya sebagai pengganti.
Anak muda bukan punya sabar untuk mendengar celoteh ahli politik, baik di pentas mana sekali pun, jika celoteh itu hanya cakap kosong, retorik dan jauh daripada pembaris idealisma orang-orang muda. Lantas, sama ada pemerintah atau pembangkang, kedua-duanya bisa gagal menjadi mesra orang muda, dan menyumbang kepada kebosanan yang tinggi di kalangan mereka ini terhadap apa sahaja yang dikaitkan dengan politik.
Tetapi mengambil peduli tentang politik memang memerlukan stamina yang tinggi.
Stamina emosi!
Jika kekotoran politik Malaysia menjadi alasan mereka enggan peduli, anak muda Malaysia perlu meninjau  anak muda Turki berdepan dengan politik negara mereka yang lebih dahsyat lagi bangsat (maaf), namun mahasiswa di Turki tidak lelah. Jika stamina tinggi mengambil 16 subjek untuk SPM, seharusnya stamina yang sama dipinjamkan kepada keperluan mengambil tahu tentang politik.
Sama ada atas asas Islam, sosialis, Laiklik (sekularisma Turki), atau apa sahaja, peduli dan melakukan sesuatu berkenaan kepedulian itu ertinya sudah menyelesaikan 50% urusan perubahan.
KESALAHAN PARADIGMA
“Saya pening, tak tahu nak undi mana satu. Dua-dua tak meyakinkan!” kata seorang anak muda di Facebook.
“Senang cakap ustaz sebenarnya sokong siapa kerana apa yang kita lihat ikut hukum logik politik kepentingan perlu buang undi memenangkan kedua-dua kelompok ini? Apakah kedudukan umat Islam bergantung dengan kedua-dua kelompok ini?” tanya seorang anak muda lagi. Di Facebook juga.
Kesalahan paradigma kita ialah undi kita adalah untuk menguntungkan pihak yang diundi.
Itu salah.
Kerja kita bukan hanya mengundi.
Mengundi hanya permulaan.
Kita mengundi untuk menyediakan ruang kita berperanan. Pihak yang perlu dimenangkan ialah pihak yang apabila menang, dia mahu mendengar nasihat, tunjuk ajar dan cadangan kita. Dalam erti kata yang lain, selepas pilihanraya, kita mesti terus bekerjasama untuk mengisi keputusan pilihanraya dengan maslahah-maslahah masyarakat, Yakni kita aktif membantu pihak yang menang mengisi kemenangan.
Bukannya selepas undi, kita tinggalkan politik dan komen dari jauh sama ada orang politik sudah buat kerja atau tidak!
Al-Imam Ahmad dan al-Baihaqi meriwayatkan cerita oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang wasiat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salaam kepada anaknya di ambang kewafatan Baginda. Hadith yang panjang itu menyentuh perkara berikut:
Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”
Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?
Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”
Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?
Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”
[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]
Perjuangan kita ialah untuk menundukkan kesombongan agar yang memerintah ialah pihak yang mahu mendengar kata. Bukan meremehkan saranan-saranan, mentertawakan kritikan, pandai dalam semua benda hingga politik tidak perlu mendengar pendapat ahli bahasa dalam masalah bahasa, ahli sukan dalam masalah sukan, ahli pendidikan dalam masalah pendidikan, semata-mata kerana AL-KIBR!
Pihak yang masuk ke Parlimen dan Dewan Rakyat itu memang bukan nasib kita bergantung kepada mereka, tetapi keputusan-keputusan mereka menimpa kita secara langsung.
Maka siapa yang mahu dihantar masuk ke bilik-bilik mesyuarat penggubalan dasar pusat dan negeri itu, amat kritikal!
Namun usaha semua orang di bidang masing-masing mesti diteruskan sama ada di ahli politik atau tidak.
Terutamanya kakitangan awam yang mesti terus berkhidmat kepada rakyat, dan bukannya kepada parti, tanpa mengira apakah bentuk peralihan kuasa pasca Pilihanraya Umum. Kakitangan awam adalah tunggak utama urus tadbir negara.
TERNAKAN AL-MALA’
Namun, ketidak pedulian itu juga mungkin sekadar tip of the iceberg.
Isunya lebih dari itu.
Lebih besar dari sekadar malas untuk peduli kepada pilihanraya.
Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan world view… cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya. Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya. Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan seks.
Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”. Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat, ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.
Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja. Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.
Apakah falsafah binatang ternak?
Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam? Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini, di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja. Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama. Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa, bahkan hari ini mahu makan siapa!
Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya? Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya? Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.
Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin, jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi, ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.
Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.
Neraka Jahannam bukan hanya dihuni oleh manusia jahat lagi ahli jenayah.
Neraka Jahannam juga dihuni oleh orang-orang yang LALAI.
Ayat ini seharusnya menjadi peringatan paling tegas untuk membanteras gejala AKU TIDAK PEDULISMA.

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. [Al-A'raaf 7: 179]
Apakah sikap tidak peduli, lumpuh reaksi dan hambar terhadap tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan negara, merupakan simptom besar kepada melatanya generasi yang hilang arah dan tujuan hidup?
Semua pihak perlu serius memikirkan hal ini. Mereka yang bertanding, yang berkempen, yang berdakwah, yang bersiasah… isu ini isu semua.
Pilihanraya, demokrasi, baik pulih pemerintahan… adalah isu yang tidak punya sebarang makna bagi manusia yang hanya berfikir tentang perutnya.
PASRAH SAHAJA
Dunia adalah ladang Akhirat. Nasib kita di Akhirat sangat berkait rapat dengan reaksi dan aksi kita di dunia.
Perbalahan di zaman ini bukan seperti di zaman Muawiyah vs Ali radhiyallahu ‘anhuma yang amat sukar untuk ditentukan pihak mana yang hendak dihulurkan tangan.
Sesungguhnya di Akhirat nanti, Allah tidak simpati kepada golongan ‘tertindas’ yang semasa hidup di dunia, mereka tidak bertindak. Hanya pasrah sahaja.
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri, mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [Al-Nisaa' 4: 97]
ERA PAHLAWAN KEYBOARD
Golongan TIDAK PEDULI itu buat masa ini masih kelompok paling besar.
Ramai dari kalangan mereka, amat rancak duduk di depan laptop atau telefon pintar bersuara BISING.
Kekuatan penguasa di mana-mana sahaja banyak bergantung besar pada golongan ini. Mereka tidak perlu menyokong pembangkang yang memerlukan kepada kesedaran politik, membaca, menganalisa, berusrah dan lain-lain kesusahan. Untuk menghasilkan golongan ini, beri sahaja apa yang nafsu mereka mahu. Hiburan, duit poket, ‘kestabilan sosial’ yang semuanya itu diberikan tanpa golongan ini sedar pun bahawa mereka sedang menikmatinya.
Mereka menganggap tidak berpihak mereka kepada mana-mana pihak itu adalah sebuah intelektualisma, bebas, merdeka, bukan balaci pembangkang dan kemegahan-kemegahan buana yang dicanang.. Tetapi merekalah al-An’aam golongan Al-Mala’!
Hakikatnya, mereka hanyalah golongan yang ‘menyembah Allah di pinggiran’.
Opportunist!
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula. (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata” [Al-Hajj 22: 11]
Jika bosan dengar celoteh seorang ustaz, dengarlah nasihat Desmond Tutu:
If you are neutral in situations of injustice, you have chosen the side of the oppressor. If an elephant has its foot on the tail of a mouse and you say that you are neutral, the mouse will not appreciate your neutrality.
 Selamat berpihak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan