Isnin, 26 September 2011

Perjuangan Syed Qutb..


" Jangan takut mati wahai rakan-rakanku
Mari kita mati kerana Allah
Selepas ini kita akan berjumpa semula
Selepas ini kita akan berjumpa Rasulullah
Yang kerana dia, kita berjuang bermati-matian.."

Semoga jadi pengajaran kepada kita semua... 




Khamis, 22 September 2011

Poster-poster hijab untuk muslimat.

KLIK GAMBAR UNTUK BESARKAN


















Tudung Yang Dipinkan Kebelakang Menyamai Biarawati Kristian?



Soalan; Salam ust, Saya ada satu kemusykilan berkaitan dakwaan tentang cara pemakaian tudung yang diikat@dipin di belakang leher seperti trend sekarang adalah mengikut cara pemakaian biarawati kristian.Adakah dakwaan itu benar walaupun si pemakai (wanita islam) tidak pernah mempunyai niat sedemikian, hanya pakai tudung dengan meng'pin'kan di bahagian leher bagi menampakkan kekemasan.Harap ust dapat memberikan penjelasan.

Jawapan;

Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah;

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu” (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu 'alaihi wasallam- bersabda; "Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut" (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).

Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan indentiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.




Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka ditempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab; "Harus". Dikatakan kepadanya; "Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)". Imam Malik menjawab; "Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai". Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata; Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....). Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkab larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.

Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukan beberapa dhabit yang diberikan ulamak;
1. Berkata Imam al-Qurthubi; "Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya" (Faidhul-Qadier, 6/104).
2. "Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama" (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).
3. "Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka" (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).
4. "Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuati yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain" (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati kristian?, persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Krisrian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj....
2. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.

Nota hujung;

[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
[2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai.

Khamis, 15 September 2011

Bapak-bapak , kamu tak risau ke?



Petang tu anak-anak duk sibuk sangat ajak pergi ketaman permainan. Taman tu tak jauh, tapi aku tak pernah biarkan anak-anak pergi sendiri. Sekarang ni macam-macam boleh berlaku. Aku pun bawak la anak aku 4 orang ni pergi. Sampai kat sana ada ramai kanak2 yang lebih kurang sebaya anak2 aku, masih sekolah lagi.

Tapi aku selalu perhatikan perangai bebudak nih. Cuma petang tu aku rasa bertambah risau melihatkan budak2 yang barangkali kalau cakap mak bapak tak ajar, mungkin kata aku kurang ajar. Pedulilah apa orang kata. Budak2 ni duk main , lepak kat taman ni, bapak-bapak die orang tak pantau ke..takkan main lepas tangan gitu je ?

Aku dapat tengok beberapa perkara yang tidak elok, tidak beradab, menyalahi agama, tidak bermoral dan entah apa2 lagi la. Aku bagi 5 je kat sini yang aku perhatikan cukup mendukacitakan, cukup merisaukan, cukup membuatkan budak2 ni kalau terus sebegini, bila besar nanti akan lebih "punah jahanam".

1- Hisap Rokok. Sebahagian budak2 lelaki mungkin dalam tingkatan 1 @ 2 duk lepak2 sambil hisap rokok. Mak bapak tak tau ke? Mungkin bapak tak tau. Tapi apsal kau tak gi cek anak kau pergi kemana, buat apa, sapa kawan2 dia? Agaknya kau pun isap rokok jugak , tu pasal anak kau isap rokok. Mata duk melailau-lilau perhatikan budak2 pompuan, ada la lebih kurang dekat 10 orang budak pompuan petang tu.

2- Tak Tutup Aurat. Budak2 perempuan yang ada petang tu, majoriti tak tutup aurat. Dengan pakaian ketatnya. Yelah baru sekolah rendah, tapi kalu dah darjah 5 @ 6 tu dah besar la tu weh. Dah memang wajib bapak dia suruh tutup aurat. Macam suruh semayang la jugak. Takkan kau sorang je nak masuk syurga. Bagi la can anak kau pun  masuk sama.

3- Pergaulan Bebas. Bebudak lelaki & pompuan ni dah macam adik beradik je aku tengok. Bersembang, bergurau senda tanpa segan silu. Mak bapak tak rasa apa2 ke kalau anak2 pompuan duk bersembang2 dengan lelaki2 ni. Alaaaa..bukan wat apa duk bersembang je kan. Tak takut ke dengan amaran Allah " jangan kamu menghampiri zina.."..laaa zina pebendanya kalau takat sembang2. Memangla mula2 sembang2.. lepas tu!. Kau ingat orang berzina macam tu je ke ?..tak de intro2..terus je berzina. Kalau cakap takde maruah kan orang marah, tapi kalau ikut islam ...memang takde maruah pun.

4- Dengar lagu. Islam takdelah sampai tak benarkan umat die berhibur. Dengar lagu2 yang baik2 tu ok la. Tapi kalu dah duk kesana kemari dengan earphone duk kat telinga, tu bukan halwa telinga dah tu, dah jadi tahi telinga dah tu. Bapak2 tolonglah nasihatkan anak2 supaya jangan suka sangat dengar muzik ni, nanti keras hatinya. Dah keras hati, kemudian keras kepala, baru padan muka kita.

5- Bergaduh. Memalukan sungguh, ade 2 oarng budak pompuan tu duk bergaduh, mula2 tolak2, pastu siap naik kaki lagi. Mulut tak sah cerita la. yang jantan duk ketawa je. Apa nak jadila, tak tau malu, takde adab.

Aku tengok anak2 aku duk perhatikan je dari tadi. Balik dari taman aku terus terangkan benda2 yang tak elok kat taman tadi. Aku cukup risau la dengan situasi macam ni. Setiap yang berlaku ada sebabnya, ada puncanya. Puncanya nilah yang perlu kita jaga & kawal. Mencegah lebih baik dari merawat.Tak kesah la kalau orang nak kata aku konkong anak ke, primitif ke, lantak korang la. Yang penting aku cuba sedaya upaya mendidik ikut aturan islam.

Ingatlah" Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya, umpama kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan anaknya samada menjadi islam, menjadi yahudi atau menjadi nasrani" Islam adalah cara hidup, bukan setakat dalam kad pengenalan, bukan setakat nak sambut raya saje. Kalau nama islam, tapi cara hidup, berpakaian, pergaulan dan sebaginya macam YAHUDI memang duk dalam "oven" la nanti.


Isnin, 12 September 2011

Sign Board Biar Betul..


Ini lah sign board yang baru dipasang di perkarangan Masjid kat Cenderawasih. Baru tak baru lah dah berbulan-bulan dah.Selalu orang pasang sign board Dadah adalah Haramlah apa lah, yang paling banyak bab zakat lah apa lagi.

Sebenarnya nak pasang sign board ni nak kena betul2 gak, sesuai dengan keadaan la kan. Kalau bab dadah nak wat pe, mat dadah agak-agak gi masjid tak? Kalau ikutkan dadah mana ada haram, kalau letak dalam poket sekilo pun sah solat. Kalau haram apsal doktor bleh plak guna dadah. Tentulah haramnya kerana penggunaannya yang berlebihan, sampai memabukkan (mengkhayalkan), tapi kenapa ayat yang tertera Dadah adalah Haram Disisi Islam...bagi orang confius,pelik betul.

Cuba tengok "amaran" kat dalam gambar ni. Menutup aurat itu wajib! Patutnya bukan kat masjid, tapi kat tengah2 bandar nun, cam kat bandar kota bharu tu. Tapi antara sebab letak kat masjid ni pasal orang ramai tak faham. Time solat menutup aurat, selesai je solat, turun masjid dedah aurat balik. Dadah tak haram, dedah tu yang haram. Tutup aurat bukan time solat je, kena faham baik2 tu. Ibu, terutama bapa kena la faham dan ajar anak2 pompuan tu. Selalu jugak jumpa ibu bertudung, bapa berkopiah, anak tak tutup aurat, rambut perang, baju ketat, boleh jalan sama2, tak malu ke? Atau memang nak dicampak ke neraka lepas mati nanti? Bunyi memang kasar, tapi percayalah yang lebih kasar ialah azab yang sedang menunggu disana nanti. 
Nauzubillah...



"Merokok Itu Haram" ..ini satu lagi malapetaka yang menimpa umat islam. Yelah kalau tanya ustaz yang isap rokok, mesti dia kata makruh. Orang yang isap rokok mesti cari ustaz2 ni. Boleh buat modal. Kalau ikut muzakarah jawatankuasa fatwa majlis kebangsaan hal ehwal islam kali ke 37 pada 23 mac 1995 dah pun bagitau yang merokok tu HARAM.

Banyak sebab kenapa merokok itu haram. Antaranya:
1-Rokok menjejaskan akal
2-Membahayakan kesihatan diri & orang lain.
3-Menganggu keselesaan orang lain.
4-Menunjukkan akhlak yang buruk
5-Mensia-siakan waktu hidup
6-Membazirkan harta (wang)
7-Mengandungi bahan yang haram
8-Bercanggah dengan ajaran islam.



Tapi yang sakit mata memandang tu ialah orang2 yang meokok ni kaki surau masjid. Pasal tu la sign board ni ada kat masjid. Dengar kuliah hari2 pun buat bengong jugak. Kalau wat demo menentang israel, dia la duk depan skali, tak sedar ke rokok ni mengkayakan israel. Cakap islam bergegar-gegar. Apa daaa...Islam bukan takat cakap je, tapi sekali dengan amalan. Orang dulu2 ikut Nabi pasal akhlak yang ditunjukkan. Bukan sedap cakap je..duk kat kedai isap rokok, pastu datang solat jemaah, "bau mulut cam tong sampah"...boleh ke macam tu, itukan dah kira ganggu orang lain nak solat. Kalau nak berjuang islam, cuba la sedaya upaya buang benda2 yang tak berfaedah ni.





Jumaat, 9 September 2011

Antara tempurung kelapa & Kasih ibu...

Azman & Lina adalah sepasang suami isteri yang ditakdirkan hidup mereka begitu beruntung,mempunyai kerja yang agak baik serta mempunyai dua anak yang comel dan manja, yang sulong seorang lelaki darjah dua, seorang lagi perempuan enam tahun. Mereka tidak menyewa, tetapi tinggal dirumah kampung milik ibu kepada Lina, lantaran ibunya sendiri yang mengajak tinggal disitu.

 " Buat apa lah nak sewa rumah, nanti kena bayar, tiap-tiap bulan kena bayar,...tinggal aje dirumah emak ni, lagipun mak duduk sorang je.." minta ibunya pada Lina. Anak-anak yang lain semua tinggal jauh nun di negeri orang. Lagipun rumah itu selesa dan kawasan tanah pun luas, lebih baik dari menyewa rumah teres tu.

Tinggallah Lina dan keluarganya bersama ibunya. Syukur yang tidak terkira hati sang ibu bila anaknya berada bersama-sama dengannya..harapannya, dapatlah anaknya nanti menjaganya kalau-kalau dia sakit.

Ibu yang semakin hari semakin tua, badan semakin uzur. Banyak kerja yang terpaksa dilakukan oleh Lina sekarang, kerja kat pejabat lagi, balik rumah nak jaga ibu lagi. Ibunya kini sudah kembali kealam kanak-kanak semula (nyanyuk). Banyak benda yang dia tidak ingat dan yang paling memeningkan Lina ialah ibunya tidak mampu menguruskan diri untuk kebilik air kalau nak buang air, tak kira la air besar ke kecik ke.

Suatu hari setelah pulang dari tempat kerja, Lina terkejut melihat najis merata-rata dihalaman rumah. Memang ibunya lah yang punya kerja ni. Lina marah-marah kan ibunya, walaupun satu patah pun ibunya tak faham. Lalu Lina mintak suaminya membina sebuah pondok kecil dibelakang rumahnya supaya ibunya tinggal disitu.

Pondok kecil itu dibina sekadar sebesar sebuah bilik aje. Lantainya dibuat jarang-jarang supaya mudah bagi ibunya untuk membuang "air". Disitu jugalah tempat ibunya tidur, disediakan sebuah tilam kelkabu dan sebiji bantal yang entah berapa tahun usianya.

Semakin hari Lina semakin melampau dalam melayan ibunya, kini makanan pun hanya diberi didalam tempurung kelapa sahaja, senang tak payah basuh fikirnya. Tempurung yang diguna itu pun dah berubah warna menjadi hitam dan kotor akibat daripada sisa makanan. Suami Lina buat tak tahu aje apa yang Lina buat pada ibunya. Anak lelakinya mengerti dan sedih atas pebuatan mamanya pada neneknya tetapi tak mampu berbuat apa-apa kerana ibubanya garang belaka.

Suatu hari Lina mengajak anak perempuannya yang umur 6 tahun tu keluar, masa singgah dikedai runcit untuk membeli barang, tiba-tiba anaknya menarik-narik tangannya. "apa pulak ni?" tanya Lina pada anaknya. "Adik nak benda tu, sambil menunjukan sesuatu ditepi longkang depan kedai runcit tu. Lina tak menghiraukan kata-kata naknya.

Anaknya terus merengek-rengek mintak diperkenankan permintaannya. "kau nak buat apa dengan benda kotor tu!" marah betul Lina pada anaknya yang menunjuk kearah sebiji tempurung kelapa yang kotor, hitam, separuhnya terbenam dalam air longkang tu.

 "alaaa..adik nak benda tu,...adik nak simpan,..adik nak simpan untuk mama,...nanti kalau mama dah tua macam nenek, mama boleh makan dalam benda tu...". Bagai kilat menyambar degup jantungnya, terlepas barang-barang yang dibelinya tadi dari genggamannya, hatinya bagai dicincang-cincang, air mata  mengalir tanpa disedarinya...Ya Allah..ampunkan dosaku, ampunkan aku wahai ibu.....


Sayangilah ibu, walau siapa pun dia, walau ditaraf mana pun kita, kerana ibu tiada galang gantinya. "Ya Allah, peliharalah kedua ibubapa kami, sebagaimana mereka memelihara kami sejak dari kecil.." Ampun kan dosa mereka, kasihi mereka, berilah rahmat kepada mereka, afiatkan mereka, maafkanlah mereka " amin.